Tilawah, Ta’lim dan Tazkiyah
Kupasan Fikrah Ustaz Salam
Oleh:shaffix farras maulama
Maha Suci Allah telah menurunkan
al-Qur’an sebagai mukjizat Nabi Muhammad saw. Di dalamnya kaya dengan ilmu dan
pengajaran. Beruntunglah bagi sesiapa yang bertadabur al-Qur’an iaitu orang
yang mengamati dan menghayati bait-bait ayat al-Qur’an, kemudian berfikir dan
mengambil pengajaran daripadanya. Kemudian membandingkan perkaitan dengan
hidupnya. Ia melibatkan rifleksi hati yang mampu menguja anggota badan untuk
beramal.
Al-Qur’an juga berjaya melahirkan
para sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Shidiq, Saidina Ali
Karamallahuwajhah, Saidatina Khadijah r.ha, Saidatina Aishah r.ha, Zaid bin
Harithah, Bilal bin Rabbah dan yang lain yang diceritakan di dalam sejarah.
Wahyu yang didatangkan melalui Rasulullah saw benar-benar dapat mengubah
pemikiran mereka sehingga Saidina Umar r.a yang garang dan keras hati boleh
menjadi seorang yang penyabar dan lembut hati kepada orang-orang Mukmin.
Sanggup berjuang hingga ke titis darah terakhir semata-mata menegakkan Kalimah
Toiyibbah.
Zaman selepas kewafatan Rasulullah
saw juga berjaya mewujudkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sallehuddin al-Ayubi,
Muhammad al-Fateh dan ulama-ulama penyambung tugasan para Rasul. Al-Qur’an dan
sunnah mampu mewujudkan individu Muslim yang Mukmin walaupun ketiadaan jasad
Rasulullah saw itu sendiri.
Timbul persoalan di sini, bagaimana
al-Qur’an dan sunnah mampu mengubah seseorang itu dari satu keadaan yang tidak
baik kepada keadaan yang lebih baik sehingga seakan-akan menyamai generasi
sahabat atau lebih daripada itu. Rasulullah saw pernah bersabda;
“Akan ada diakhir zaman nanti
orang-orang apabila beramal melebihi 50 kali ganda daripada kamu.” Sahabat bertanya; “Siapakah kamu itu?” Rasulullah
saw menjawab; “kamu itu ialah kamu semua, sahabat-sahabatku.”
Maka tidak mustahil sesiapa sahaja
dikalangan kita boleh mencapai tahap tersebut. Di dalam al-Qur’an ada
menerangkan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan sehingga
mampu mengubah peribadi individu Muslim. Kaedah tersebut ialah penggunaan
konsep tilawah, ta’lim dan tazkiyah sebagaimana di dalam surah al-Baqarah:129,
رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬
مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ
ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ
وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ
(١٢٩
Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (129)
Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (129)
Tilawah( ۡ يَتۡلُو )
Tilawah ialah satu konsep satu hala
di mana wujud suasana guru membacakan ilmunya dan didengari oleh anak murid
atau pendengar yang mendengar dengan meneliti isi kandungannya dan cuba
mengikutinya . Konsep ini selalu digunakan di sekolah-sekolah, tempat ceramah,
khutbah Jumaat, siaran radio, dan kaedah-kaedah yang seumpama.
Contohnya, tilawah al-Qur’an. Bacaan
diperdengarkan oleh pembaca dan didengari oleh penonton. Di sekolah pula guru
menerangkan ilmunya dan didengari oleh pelajar di dalam kelas. Di dalam majlis
ceramah, penceramah memberi kuliahnya dan didengari oleh mereka yang hadir. Ini
bermakna ilmu dibacakan dan sepatutnya diikuti dengan baik tetapi pemahamannya
bergantung kepada pendengar. Ada yang boleh memahaminya dengan baik, ada yang
memahaminya separuh sahaja dan ada yang tidak memahaminya langsung. Oleh itu ia
perlu pergi ke proses seterusnya sama ada ta’lim atau tazkiyah.
Ta’lim (َيُعَلِّمُهُمُ )
Ta’lim adalah suatu konsep
memastikan berlakunya pemahaman terhadap apa yang diajar. Konsep ini memerlukan
pengajaran dan pembelajaran secara dua hala atau lebih. Pendekatan yang boleh
diguna seperti perbincangan dalam kumpulan atau bengkel, tutorial, ujian atau
peperiksaan, latihtubi dan banyak lagi teknik yang seumpama bergantung kepada
kreativiti-kreativiti penyampai maklumat. Yang perlu dipastikan adalah
pemahaman telah berlaku.
Fenomena disekolah sebagai contoh,
markah ujian sejarah di dalam satu kelas yang mengandungi 30 orang pelajar
adalah berbeza-beza walaupun mereka mendapat ilmu daripada seorang guru sejarah
yang sama. Ini menunjukkan tahap pemahaman mereka yang berbeza dan mungkin juga
usaha untuk memahamkan ilmu tersebut adalah berbeza-beza kesungguhannya.
Sebagai guru atau murrabi atau
pendakwah sepatutnya mengikut saranan al-Qur’an bahawa setiap apa yang
disampaikan perlu dipastikan ia betul-betul difahami oleh pelajar atau mad’u.
Iaitu konsep mengajar sampai faham atau sampai pandai. Inilah konsep yang
digunakan dalam Islam. Maka akan lahirlah para cendiakawan dan ilmuan.
Jika dirujuk kepada ayat di atas,
Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah swt supaya diutuskan seorang Rasul dari
kalangan mereka sendiri (۬ مِّنۡہُمۡ ). Apa pengajarannya?
Mengapa dari kalangan mereka sendiri?
Menurut sejarah, Nabi Ibrahim a.s
adalah dari keturunan Iraq. Berkahwin dengan Sarah juga dari keturunan Iraq.
Maka lahirlah Nabi Isyak a.s menjadi keturunan Iraq. Daripada Nabi Isyak a.s
pula lahirlah Nabi Yaakob a.s dan seterusnya Nabi Yusuf a.s.
Nabi Musa a.s, Nabi Harun a.s dan
sehinggalah Nabi Isa a.s adalah daripada keturunan Nabi Yaakob a.s. Mereka
diutuskan kepada Bani Israil. Bila diteliti dengan baik, terdapat banyak cerita
di dalam al-Qur’an berkenaan kisah Nabi Musa a.s. Ujian yang dihadapinya adalah
sangat berat. Rasulullah saw pernah berdoa supaya Allah ‘azza wa jalla
merahmati Nabi Musa a.s. Ada dua ujian besar yang dihadapi oleh Nabi Musa a.s.
iaitu:
(1) Berhadapan dengan Fira’un.
Pemimpin atau raja yang paling berkuasa, paling kejam dan paling jahat.
(2) Kaum Bani Israil yang sangat
degil, sombong dan ego. Mereka payah beriman kepada ajaran Nabi Musa a.s.
walaupun mereka telah melihat sendiri 9 mukjizat Nabi Musa a.s. sebagai bukti
kenabian Nabi Musa a.s. Ketika Nabi Musa a.s meninggalkan mereka dalam tempoh
yang tidak lama ke Bukit Tursina, mereka kemudian berpaling menyembah lembu
yang diberi nama Samiri.
Ini memberi gambaran kepada kita
bahawa bukanlah senang untuk menjadi seorang da’i. Banyak halangan dan dugaan
yang akan dihadapi. Namun setiap usaha yang dibuat pasti mendapat ganjaran
disisi Allah ‘azza wa jalla.
Manakala Nabi Ibrahim a.s juga
berkahwin dengan Hajar dari keturunan Mesir. Hasil perkahwinan mereka lahirlah
Nabi Ismail a.s. Nabi Ismail a.s pula berkahwin dengan wanita dari keturunan
Arab yang menetap di Makkah sehingga melahirkan keturunan Arab. Nabi Muhammad
saw adalah dari keturunan Nabi Ismail a.s yang berketurunan Arab. Selepas Nabi
Ismail a.s, tiada lagi Nabi diutuskan sehinggalah kewujudan Nabi Muhammad saw
di bumi Arab itu.
Ini bermakna, doa Nabi Ibrahim
dikabulkan oleh Allah swt selepas 4 atau 5 ribu tahun kemudian. Itu doa seorang
Nabi, jika kita bagaimana pula? Terpulanglah kepada Allah swt sama ada hendak
memakbulkannya dengan segera atau lambat atau tidak dimakbulkan. Sebagai orang
Mukmin perlulah beriman kepada qadha’ dan qadhar Allah swt. Meyakini bahawa
setiap yang ditetapkan Allah swt keatas dirinya adalah yang terbaik. Allah
‘azza wa jalla mengahui tetapi kita tidak mengetahui ilmu-Nya. Malah perbuatan
berdoa itu sendiri menunjukkan kerendahan dan pengharapan seorang hamba kepada
Penguasanya. Perbuatan seperti ini adalah ibadah. Setiap ibadah pasti mendapat
ganjaran pahala.
Kembali kepada persoalan mengapa
Nabi Ibrahim a.s memohon supaya diutuskan seorang Rasul dari kalangan mereka
sendiri? Ini kerana apa yang hendak dibawa ialah pemahaman agama. Justeru itu
adalah lebih berkesan dan mudah sekiranya ia dibawa oleh orang tempatan yang
mengenali budaya dan bahasa setempat. Malah para da’i juga hendaklah memahami
budaya tempatan dan duduk bersama mereka supaya pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih lunak dan menyelinap hingga ke kalbu.
Jika kita mengimbau kembali sejarah
Islam di Acheh, seorang berbangsa Belanda bernama Dr.Snouck Hurgronje telah
berjaya menembusi pengaruh Islam di Acheh. Sebelum ini, Acheh adalah
satu-satunya daerah di Indonesia yang kebal dari penaklukan Belanda.
Sehinggalah kehadiran Dr.Snouck Hurgronje dapat mempengaruhi dan mengubah
pemikiran orang-orang Islam Acheh dan akhirnya Acheh berjaya dijatuhkan
ketangan Belanda. Bagaimana Dr.Snouck Hurgronje melakukannya?
Dr. Snouck Hurgronje telah mengkaji
budaya, peradaban, dan agama Islam sehingga sanggup masuk Islam dengan nama
Abdul Ghaffar. Beliau juga pandai berbahasa Arab dan berkahwin dengan rakyat
tempatan. Selama 16 tahun berada di sana, beliau berjaya mempengaruhi pemikiran
orang Acheh dan akhirnya Belanda berjaya menakluki Acheh.(rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Christiaan_Snouck_Hurgronje)
Begitu juga pergerakan mubaligh
Kristian di Sarawak. Mereka cuba mempelajari budaya dan bahasa tempatan seperti
Iban, Kadayan dan yang lain. Akhirnya berjaya sehingga kini banyak
gereja-gereja di Sarawak dan majoriti penduduk di Sarawak adalah penganut agama
Kristian.
Jelas di sini, untuk mengaplikasi
konsep mengajar sampai faham atau sampai pandai ini memerlukan pengorbanan yang
bukan sedikit.
Justeru itu, orang-orang yang bukan
berbangsa Arab, untuk memahami al-Qur’an yang berbahasa Arab perlu berkorban
mempelajari Bahasa Arab semata-mata cuba memahami secara mendalam isi kandungan
al-Qur’an. Membaca terjemahan al-Qur’an adalah berbeza kefahamannya berbanding
memahami Bahasa Arab yang unik itu. Ini sangatlah penting untuk menjadi seorang
yang fiqh ad-Din kerana segala-gala rahsia Islam berada di dalam al-Qur’an.
Tazkiyah ( َوَيُزَكِّيہِمۡۚ )
Rasulullah saw terpaksa berhadapan
dengan masyarakat Arab yang rosak budaya sosialnya. Masyarakat yang sukakan
hiburan semata-mata, masalah zina, tipu menipu dalam jual beli, yang kaya
menindas yang miskin, penyembahan bahala dan lain-lain masalah aqidah dan
sosial. Menangani masyarakat yang rosak selama 4 hingga 5 ribu tahun memang
sangat mencabar. Namun, berpandukan wahyu(al-Qur’an), Rasulullah saw yang
berbangsa Arab dan mengetahui budaya masyarakatnya berjaya mengharungi onak dan
duri sehingga melahirkan generasi Sahabat yang menyambung perjuangannya.
Bagaimanakah ia dilakukan?
Al-Qur’an sebagai mu’jizat
diturunkan untuk membaiki aqidah dan cara hidup Muslim. Memperolehi ilmu secara
tilawah dan memahami ilmu secara ta’lim adalah tidak mencukupi untuk mengubah
peribadi seseorang Muslim. Orang yang berilmu tidak semestinya beramal. Orang
yang beramal tanpa ilmu pula adalah rugi dan sia-sia. Guru di sekolah boleh
melahirkan pelajar yang pandai tetapi belum tentu berakhlak mulia. Ini kerana
ilmu yang diperolehi tidak sampai ke hati. Maka ilmu yang ada tidak dapat
mengubah peribadi pelajar.
Hadith Rasulullah saw;
} أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْب – رواه البخاري ومسلم
Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa itu adalah hati “. - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
} أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْب – رواه البخاري ومسلم
Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa itu adalah hati “. - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika dilihat para sahabat di zaman
Rasulullah saw, hampir 99% daripada mereka adalah buta huruf. Mereka tidak
dapat membaca. Sementara itu, ramai juga dari kalangan sahabat ini keluar
berjihad menentang musuh Islam. Maka masa untuk tilawah dan ta’lim adalah
terhad. Namun mereka tetap hebat dengan tazkiyah. Apa yang ditazkiyahkan?
Mereka telah mentazkiyahkan perkara:
1. Menyucikan dan membersihkan Aqidah dari
syirik kepada mentauhidkan Allah swt. Asal tauhid ialah‘wahada’ yang
bermaksud Esa. Nabi saw mengambil masa 13 tahun untuk mengukuhkan aqidah para
sahabat.
2. Menyucikan, membersihkan,
memperbaiki diri daripada akhlak yang tidak baik dan daripada
amalan-amalan maksiat sebagaimana amalan jahiliyah.
3. Membersihkan dan menyucikan harta.
Tazkiyah Aqidah Dari Syirik
Bangsa Arab sebelum kedatangan
Rasulullah saw telah membuat berhala daripada pelbagai bahan seperti kayu,
batu, logam dan ada yang dibuat daripada buah kurma yang dibungkus. Mereka
membuatnya sebagai patung penyembahan, ada yang selepas beribadah kemudian
memakan semula patung yang dibuat daripada kurma apabila mereka rasa lapar. Ada
yang dibuat untuk kebanggaan seperti patung raja-raja, para pahlawan dan
ilmuwan semata-mata untuk mengingati sejarahnya yang baik agar dijadikan
contoh. Ada pula membuatnya hanya sekadar sebagai perhiasan yang disimpan di
dinding rumah, depan pintu rumah dan di halaman rumah. Kalau diperhatikan di
zaman sekarang yang dikatakan sebagai zaman moden, terdapat patung-patung
sebagai sembahan, tugu peringatan dan juga sebagai perhiasan. Mengejar wang,
pangkat dan kemewahan sehingga membelakangkan Allah ‘azza wa jalla. Bukankah
itu sama seperti aqidah zaman jahiliyah yang perlu ditazkiyahkan?
Arab jahiliyah juga ada yang
mempercayai Allah swt mempunyai anak. Orang Yahudi mempercayai ‘Uzair adalah
anak Allah. Orang Nasrani mempercayai Nabi Isa a.s adalah anak Allah. Manakala
orang Musyrikin Arab mempercayai malaikat adalah anak Allah. Sehingga kini
kepercayaan ini masih ada dan memerlukan tazkiyah.
Tazkiyah Akhlak
Telah disebutkan sebelum ini, orang
Arab jahiliyah mempunyai akhlak yang teruk. Mereka merendahkan darjat wanita
sehingga sanggup menguburkan anak perempuan hidup-hidup kerana menutup malu dan
supaya tidak terhina dengan kelahiran anak perempuan. Amalan-amalan seperti
minum arak, berjudi, bertilik nasib, anshab dan azlaam. Anshab ialah batu
tempat penyembelihan kurban mereka yang dipuja-puja(seperti perkara khurafat).
Azlaam pula anak panah yang tiada bulu dihujungnya digunakan untuk undian. Satu
ditulis‘lakukanlah’, satu ditulis ‘jangan dilakukan’ dan
satu lagi tidak ditulis apa-apa kemudian diletakkan di dalam Ka’abah. Juru
kunci Ka’abah diminta mengambil anak panah itu untuk melihat sama ada mereka
perlu atau tidak melakukan pekerjaan yang dimaksudkan(seperti menilik nasib).
Amalan-amalan seperti ini masih wujud disesetengah tempat. Sedangkan manusia
diberikan akal fikiran oleh Allah swt untuk membuat pilihan berdasarkan ilmu
dan syari’at. Akhlak dan amalan seperti inilah yang perlu ditazkiyahkan.
Tazkiyah Harta
Orang Arab jahiliyah sebelum
kedatangan Rasulullah saw juga mengamalkan amalan riba seperti mengadakan
sistem bunga dalam hutang piutang. Ini dipanggil sebagai riba nasiah.
Manakala riba fadhli ialah mencampurkan suatu yang baik dengan
yang tidak baik dalam jual beli atau seumpamanya. Sebagai contoh, menjual buah
yang elok dicampur dengan yang busuk semasa timbangan. Menimbang emas yang
dicampurkan dengan bahan pemberat yang lain untuk menipu timbangan. Ini semua
perlukan tazkiyah supaya menjadi seorang yang jujur, amanah dan tidak menzalimi
sesama manusia. Justeru zakat diwajib sebagai tazkiyah harta.
Jelas disini, tazkiyah hati sangat
penting dalam perubahan hidup Muslim. Aqidah yang mantap akan melahirkan insan
yang bermotivasi dan bermatlamat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.
Maka dapat disimpulkan disini bahawa
tilawah sepatutnya akan menarik kepada ta’lim dan tazkiyah. Apa-apa yang dibaca
atau didengari mestilah difahami melalui pelbagai cara dan penyucian atau
pembersihan hati mestilah berlaku. Perubahan akan dapat dilihat melalui
pengamalan individu Muslim itu. Jika tiada ketiga-tiga konsep ini, maka tidak
akan lahir orang yang beriman dan bertaqwa.
Timbul persoalan di dalam diri,
bagaimana untuk mendapatkan atau melakukan tazkiyah? Tazkiyah adalah sebahagian
daripada Tarbiyah( memperbaiki, memelihara, menjaga, mendidik, memimpin,
meninggikan, menyempurnakan, menumbuhkan dan mengembangkan). Manusia mempunyai
3 elemen yang perlu ditarbiyahkan iaitu:
1. Akal. Akal manusia
boleh ditarbiyah dengan ilmu. Ilmu menyebabkan akal dapat membezakan di antara
baik dan buruk.
2. Jasad atau badan atau
fizikal manusia. Tubuh manusia dapat ditarbiyah dengan perkara-perkara yang
menyihatkan seperti makan makanan yang berzat dan melakukan senaman.
3. Hati. Hati nurani
manusia dapat ditarbiyah dengan iman dan Islam. Proses mendapatkan iman dan
Islam ini memerlukan pengorbanan yang memenatkan. Perlu bersedia untuk ‘at-tawissi’(
dalam surah al-Asr, ‘at-tawissi’ bermaksud berpesan-pesan)
yakni berpesan-pesan kepada kebenaran dengan kesabaran. Tidak semua orang boleh
menerima teguran dan pesanan dengan hati yang terbuka. Oleh itu ta’aruf
(mengenali orang yang hendak dipesan) adalah perlu untuk faham memahami antara
satu sama lain(tafahum) dan diri sendiri juga perlu bersedia untuk ditegur dan
dipesan-pesan. Kemudian sifat bantu membantu(takaful) perlu diwujudkan.
Kadang-kala wujud perdebatan apabila
ditegur atau dinasihati. Teguran disambut dengan jawapan seperti;
“Engkau ni imam atau ustaz?” atau “Apa engkau ambil peduli? Kubur
lain-lain…”
Mengapa ini boleh berlaku? Ini
disebabkan tiada elemen ta’aruf dan tafahum diperingkat permulaan.
Bagaimana untuk membina ta’aruf, tafahum
dan takaful? Untuk mewujudkannya perlu kepada kumpulan kecil atau kumpulan
usrah yang duduk berbincang dalam iman dan istiqamah. Kumpulan ini merupakan
asas kepada pembentukan tarbiyah. Ia seolah-olah seperti satu unit sel yang
bersedia untuk bergabung dengan kumpulan mukmin yang lain membentuk tisu, organ
dan seterusnya dapat berfungsi dalam keluarga, masyarakat dan Negara.
Terdapat 4 ayat dalam al-Qur’an yang
menyebut perkataan tilawah, ta’lim dan tazkiyah:
1. Ayat 129 di dalam surah
al-Baqarah di atas.
رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬
مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِكَ
وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡۚ إِنَّكَ
أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١٢٩)
Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (129)
Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (129)
2. Ayat 151 di dalam surah
al-Baqarah juga.
كَمَآ أَرۡسَلۡنَا فِيڪُمۡ رَسُولاً۬
مِّنڪُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡكُمۡ ءَايَـٰتِنَا
وَيُزَكِّيڪُمۡ وَيُعَلِّمُڪُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَيُعَلِّمُكُم
مَّا لَمۡ تَكُونُواْتَعۡلَمُونَ(١٥١)
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. (151)
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. (151)
3. Ayat 164 di dalam surah
Ali-Imran.
لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى
ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيہِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ
عَلَيۡہِمۡ
ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَڪِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ
وَٱلۡحِڪۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ (١٦٤)
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (164)
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (164)
4. Ayat 2 di dalam surah al-Jumu’a .
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى
ٱلۡأُمِّيِّـۧنَ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ
ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيہِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ
وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ۬ (٢)
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (2)
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (2)
Kita Penyambung Tugas Rasul
Tugas Rasul ialah:
1. Membacakan al-Kitab(al-Qur’an) –
Tilawah.
2. Membersihkan Aqidah dan Akhlak. –
Tazkiyah
3. Mengajarkan al-Kitab dan Hikmat –
Ta’lim
Menurut 4 ayat di atas, proses
pengajaran dan pembelajaran mestilah bermula dengan tilawah, kemudian diikuti
dengan ta’lim dan tazkiyah. Boleh juga dimulakan dengan tilawah kemudian
diikuti dengan tazkiyah dan ta’lim. Konsep ini boleh diaplikasi oleh pendakwah,
da’i, murrabi maupun diri perseorangan itu sendiri.
Akhir kata, al-Qur’an adalah mu’jizat
dan merupakan ni’mat yang tidak ternilai untuk orang-orang yang beriman. Dengan
adanya al-Qur’an dan sunnah Rasulullah saw, generasi muktahir ini mampu
mengikuti generasi sahabat dan tabi’in. Kuatkanlah azam dan tekad. Mohonlah
restu dari Ilahi.Amin.
Wallahu’alam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar